Powered By Blogger

Wednesday, April 27, 2011

IQRA'

"Bacalah ( wahai Mohammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekelian makhluk)"
"Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku"
" Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah"  
"Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan"
"Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya"

Surah  al -Alaq  1-5


Salam pada semua.

Surah al Alaq ayat 1-5 merupakan ayat pertama yang diturunkan kapada Junjungan Besar kita Nabi Mohamad saw.  Ayat tersebut diturunkan pada Nabi Mohamad saw di Gua Hira'  setelah Baginda Nabi Mohamad saw telah tinggal  beberapa lama di gua tersebut mengasingkan diri dari kekufuran masyarakat jahiliah dimasa tersebut.

Didalam mentadaburkan al Quran kita sebagai umat Nabi Mohamad saw dituntut untuk membacanya, memahami maksud ayat tersebut dan seterusnya mengamal segala ajaran al Quran dan meninggalkan tegahannya. Ini berdasarkan ajaran ugama kita bahawa Al Quran, Hadis dan Ijmak Ulama merupakan sumber hukum umat Islam sehingga kehari kiamat.

Jadi dari surah al Alaq ramai para ilmuwan menggunakan ayat tersebut sebagai dalil penting nya Umat Islam menuntut ilmu dan langkah yang perlu diambil seterusnya adalah rajin membaca sebagaimana tabiat positif  yang ditunjukkan oleh masyarakat barat yang rata-rata rajin membaca.

 Pada waktu ini di kebanyakan bandar-bandar utama, kita akan terpandang satu billboard yang diterbitkan oleh Universiti Selangor dengan kata-tema  "Iqra Bacalah" menjemput  pelajar pelajar lepasan SPM memohon menuntut di Universiti tersebut.  Bagitulah pentingnya semangat membaca yang cuba diujudkan dikalangan anak remaja di negara kita ini.

Berdasarkan ayat diatas adalah jelas tiap ilmu datangnya dari Allah swt dan bagi kita umat Islam cara mendapatkan ilmu tersebut adalah dengan usaha rajin membaca.  Adakah dengan membaca mendapat ilmu pengetahuan sudah memadai.

Untuk ini penulis tertarek pada pandangan seorang ilmuwan didalam membincangkan ayat al Alaq. Ilmuwan tersebut memberi pengertian seperti dibawah:

       MEMBACA= MEMAHAMI= BERFIKIR=AMALKAN

Ilmuwan tersebut berpendapat ramai dari masyarakat kita hari ini tidak membaca, tidak  memahami dan seterusnya tidak pula berfikir sebelum pelaksanaan sesuatu tindakan.

Contoh yang mudah ia-lah  bila kita umat Islam meletak kereta adakah kita membaca keadaan persekitaran tempat letak kereta tersebut, memahaminya pula dan seterusnya berfikir sekiranya kita meletak kereta di tempat tertentu adakah menganggu pemandu kereta lain atau pengguna jalan raya yang lain. Setelah berfikir buruk baiknya barulah dibuat keputusan untuk meletakkan kereta di tempat yang dirancangkan tadi. Bagitulah semangat Iqra' yang perlu dipraktikkan.

Bagitu juga sekiranya kita sebagai penduduk dalam satu taman adakah kita berfikir bagaimana untuk menjadi jiran yang baik seperti dituntut oleh ajaran ugama kita.

Diperingkat lebih tinggi pula adakah kita sebagai seorang graduan berpendidikan tinggi berfikir sebelum sesuatu keputusan atau tindakan diambil.  Berapa ramai para graduan yang berpendidikan tinggi yang menjadi ahli jenayah semata-mata selepas membaca ia-itu menuntut ilmu di universiti, beliau  tidak memahami persekitaran dan seterusnya tidak berfikir akhirnya merengkok di penjara. Segolong ijazah tidaklah  merupakan satu paspot untuk menjadi seorang ahli fikir tapi ianya dapat membantu untuk menjadi seorang  ahli fikir yang berkesan dan bijaksana.

Dalam kehidupan harian banyak contoh yang telah kita lalui dan amati tentang pentingnya berfikir didalam setiap keadaan. Pernah juga para ilmuwan menyatakan adanya anak-anak hari ini yang berpendidikan tinggi pernah membaca tentang redha Allah swt terletak pada keredhaan kedua ibu bapa tetapi tidak pernah berfikir bagaimana hendak membalas jasa baik ayahanda bondanya mendidik dirinya semenjak dia kecil lagi.

Bagitu juga sebagai ketua keluarga kita perlu berfikir dan berjiwa besar untuk menentukan kebahagian dan keberkatan keluarga kita agar anak-anak kita dapat hidup bahagia dibawah naungan seorang ayah dan ibu yang penyayang.  Kita perlu berfikir panjang dan berjiwa besar jangan terburu-buru didalam membuat keputusan buruk padahnya. Pepatah kita ada menyebutkan "Ikut rasa binasa ikut Iman bahagia".

Penulis nyatakan ini berdasarkan pengalaman silam untuk kita berkongsi bersama. Fikirlah didalam setiap keadaan  jangan berhenti setakad membaca saja. Nabi Mohamad saw sendiri setelah menerima wahyu perentah dari Allah swt terus berfikir untuk jadikan pelan tindakan dengan pengawasan terus dari Allah swt. Jadi kita setelah berfikir tuliskan pelan tindakan berdoalah pada Allah swt agar dipermudahkan urusan kita, diberkati dan dirahmati tiap ketika.

Sebagai penutup marilah kita bersama-sama berdoa pohon dari Allah swt agar kita menjadi masyarakat yang suka menuntut ilmu melalui membaca, memahami keadaan dan berfikir sebelum bertindak. Kita pohon dari Allah swt agar merahmati kehidupan kita, diberkati usaha kita agar hidup dan mati kita dalam Iman dan Islam. AMIN.

Wassalam

Akmal.            

Wednesday, April 20, 2011

Harta Pusaka

"Bagi laki-laki ada hak bahagian dari harta peninggalan kedua ibu bapa dan kerabatnya, dan bagi perempuan pula ada hak bahagian dari harta peninggalan kedua ibu bapa dan kerabatnya baik sadikit atau banyaknya harta peninggalan tersebut menurut bahagian yang telah ditetapkan."

          an Nisa  7


Salam pada semua,

Pada hari ini sekiranya kita meninjau ke perkampongan Melayu di seluruh negara kita dapati rata-rata terdapat banyak sekali  rumah-rumah lama dan baru menjadi peninggalan setelah tuan empunya harta tersebut kembali ke Rahmatullah.  Ini akibat sebahagian besar daripada anak anak arwah telah berhijrah ketempat lain kerana diarahkan bertugas ditempat baru. Sekiranya si anak pula bertugas ditempat yang sama besar kemungkinan pula si anak tadi telah punya rumah sendiri atau pun mempunyai citarasa tersendiri yang menyebabkan harta peninggalan arwah ibu bapanya tadi tinggal tidak berpenghuni.

Keadaan menjadi lebih muram lagi bilamana pewaris harta peninggalan tadi tidak bersatu hati tentang cara harta pesaka tadi perlu diagihkan.  Timbullah keadaan ketegangan diantara pewaris dan pernah terjadi ada yang merajuk hati dan terus meninggalkan kampong halaman tidak bali-balik lagi.

Islam ini agama yang suci dan lengkap. Tiap perkara ada cara penyelesaiannya.  Seperti ayat 7 surah an Nisa' menyebutkan tiap anak ada hak terhadap harta peninggalan ayah bondanya serta peninggalan kerabat terdekat manakala cara pengagihannya pula adalah berdasarkan kapada hukum syarak. 

Untuk perincian kita boleh rujuk dalam laman web hasil usaha para pensyarah dari USM sebagai rujukan awal dan selepas itu kita boleh berjumpa dengan para Peguam Syarie atau para Ustaz yang mahir berkenaan dengan hukum faraidh dan penyediaan wasiat.

Pengalaman penulis sendiri semasa bertugas dahulu telah dimaklumkan bagaimana terjadi  individu tertentu yang disebutkan sebagai penama didalam tuntutan wang pesaraan telah tidak mengagihkan wang persaraan tersebut menurut  hukum syarak sementelahan arwah ada meninggalkan hutang, suami dan anak-anak.

Kisahnya terjadi bila seorang penjawat wanita telah meninggal dunia secara mengejut dan penama wang persaraannya adalah kakak kandungnya sendiri. Bagi kakak kandung ini pula setelah mendapat wang pampasan kematian adiknya beliau tidak mengagihkan mengikut hukum faraidh dan beliau telah berhijrah ketempat lain. Jadi terpaksalah si suami menanggung hutang arwah isterinya disamping anak-anak arwah  tidak mendapat sebarang harta dari harta peninggalan arwah emak mereka sendiri.

Apakah cara mengatasi kedua-dua keadaan diatas ia-itu rumah peninggalan tinggal kesunyian dan penama wang saraan tidak menjalankan tanggung jawabnya menurut agama Islam.

Disinilah diperlukan tiap kita untuk meninggalkan wasiat. Sebagai garis kasar wasiat ini perlu menggariskan perkara-perkara berikut:

  1. Perlunya pewaris harta menjelaskan segala hutang kita setelah kita meninggal dunia.
  2. Harta sepencarian seperti rumah tempat tinggal kita bersama isteri dan anak-anak diserahkan pada isteri.
  3. 1/3 dari harta peninggalan disumbangkan kapada institusi agama sebagai misalan untuk pembangunan masjid, rumah anak yatim, fakir miskin dan sebagainya
  4. Bakinya baru difaraihdkan menurut hukum Islam atau diagih sama rata sekiranya terdapat  persetujuan sebulat suara pewaris
  5. Dicatatkan perkara tersebut dihadapan dua saksi

Kita boleh juga menambah untuk kita nasihatkan anak-anak agar rajin solat dan amalan lainya dan doakan untuk arwah kita yang telah kembali ke alam baqa'.

Dari catatan diatas kita nampak hutang kita akan dibayar oleh pewaris, rumah peninggalan kita akan didiami oleh isteri kita sebagai harta sepencarian.  Menjadi satu tragedi sekiranya isteri kita tidak mempunyai tempat tinggal yang sah bilamana si suami telah pun meninggal dunia. Bagitulah sebaliknya jika isteri yang pergi dulu.

Tapi yang lebih penting dari wasiat diatas kita boleh sumbangkan 1/3 dari harta peninggalan untuk kerja-kerja kebajikan. Harta 1/3 ini mungkin terdiri dari wang tunai atau mungkin juga harta tetap seperti rumah peninggalan tadi yang besar kemungkinan tidak akan ada penghuninya.

Amatlah tinggi ketakwaannya sekiranya rumah peninggalan yang disebut diatas dapat dimanafaatkan sebagai rumah anak yatim, rumah fakir miskin atau pusat pengajian tahfiz.  Tetapi hibah sedemikian masih tertakluk kapada 1/3 dari nilai keseluruhan harta peninggalan. Disinilah terletaknya kebijaksanaan pewaris berkenaan membantu arwah ibu bapanya yang telah kembali ke rahmatullah.

Perkara diatas berdasarkan hadith yang masyhur yang selalu kita dengar ia-itu setelah matinya anak Adam terputuslah segala amalan melainkan tiga perkara yang dapat membantunya dialam barzah nanti ia-itu ilmu yang dimanafaatkan, sedekah jariah ( 1/3 dari harta peninggalan tadi termasuk juga kerja baik yang dilakukan oleh arwah semasa hayatnya) dan anak yang soleh yang mendoakan kedua ibu bapanya.

Wasiat yang telah kita tinggalkan tadi akan difailkan ke Pejabat Tanah sekiranya nilai keseluruhan harta tersebut kurang dari RM 600,000 dan jika ia-nya lebih akan difailkan ke Mahkamah Tinggi. Satu perbicaraan akan dilakukan dan kita perlu pesan pada pewaris kita jangan bantah wasiat tersebut kerana harta tersebut adalah dari titik peluh kita yang telah kembali ke Rahmatullah. 

Setelah selesai perbicaraan harta tersebut akan diagihkan menurut wasiat tadi. Untuk ini perlulah pewaris berlapang dada dan bersyukur ayah dan ibunya ada meninggalkan sadikit harta pesaka.  Tapi si anak harus sedar dan bersyukur harta yang penting yang telah diberikan oleh kedua ibu-bapanya adalah pendidikan yang menjadikan si anak tadi hamba yang soleh dan solehah dan dapat berkhidmat untuk kemakmuran umat Nabi Mohamad saw.

Jadi marilah kita ambil iktibar dari segala yang berlaku dizaman silam dan berdoa agar kita mempunyai ketiga-tiga perkara ia-itu ilmu yang dimanafaatkan, sedekah jariah dan anak yang soleh untuk menolong kita dialam barzah nanti. AMIN.

Wassalam

Akmal                

  

Wednesday, April 13, 2011

Makanan Yang Halal

" Makanlah dari benda yang baik lagi halal dan kerjalah amal-amal soleh"


al Mu'minun  51


Salam pada semua,

Dimasa kini ramai dari kita yang tidak mengambil berat tentang jenis, sumber dan cara penyediaan makanan yang diambil oleh ahli keluarga kita tiap hari. 

Jenis yang dimaksudkan disini ialah perlunya kapada makanan yang seimbang. Pakar kesihatan selalu menasihatkan kita supaya lebih mengambil makanan berjenis sirat tinggi seperti sayur-sayuran, roti dari jenis bijiran yang kasar (wholemeal bread ) dan pastikan kita meminum tidak kurang dari 8 gelas air putih setiap hari.

Perkara inilah yang dilakukan oleh Junjungan Besar Nabi Mohammad saw bila mana makanan yang dijamukan pada tetamunya ia-lah buah tamar dan air putih bersih. Buah tamar memang diakui mempunyai nilai sirat yang tinggi sementara air putih pula sebagaimana yang disebut oleh para doktor zaman moden sebagai pencuci bahan toksid dalam tubuh badan kita.

Sumber rezeki makanan pula merupakan  satu perkara yang amat penting. Adakah kita sebagai seorang ayah sanggup melihat anak-anak kita menyuap sesuap nasi dari sumber- sumber yang meragukan. Dewasa ini ramai yang terpalit bila disebut tentang rezeki yang halal. Bagi penulis inilah perkara penting yang memerlukan pemerhatian yang serious.  Rezeki yang halal bukan sahaja dari segi puncanya, ianya juga bersangkutan masa 8 jam kita bertugas di pejabat adakah sebenarnya digunakan masa tersebut sepenuhnya untuk urusan rasmi pejabat atau termasuk juga hal-hal persendirian. Ini akan bersangkut kapada upah yang diterima tidak selari dengan urusan rasmi pejabat.

Perkara yang berikutnya pula ada-lah cara penyediaan dan bahan-bahan yang digunakan untuk memasak sebarang jenis makanan. Disinilah ramai dari kita terpengaruh oleh ajakan nafsu negatif kita.  Penulis juga kadang kala kalah dibuatnya dalam hal ini. Kadang kadang teringin juga hendak makan ayam goreng resepi barat atau memakan nasi daun pisang yang disediakan oleh pihak yang bukan Islam. Sungguh pun bahan utama masakan tersebut dikatakan halal tetapi tahap penyediaanya masih diragukan.

Pada zaman sahabat pernah ditanya apakah makna takwa. Jawapannya takwa ialah melakukan perkara suruhan Allah swt kemudian meninggalkan perkara yang dilarang disamping itu meninggalkan juga perkara-perkara yang subahah.  Seorang ilmuwan pernah menyatakan sekiranya kita lakukan yang disuruh oleh Allah swt dan meninggalkan perkara yang dilarang disamping itu kita tinggalkan perkara subahah barulah boleh kita katakan individu tersebut sebagai seorang yang warak.

Para ilmuwan masa kini ada  menakrifkan bahawa ayam goreng resepi  negara barat tersebut boleh dikatakan sebagai subahah bagitu juga nasi daun pisang dan nasi kandar yang bukan dimasak oleh orang Islam sebagai  subahah yang perlu kita jauhi sekiranya ingin mencapai tahap warak. Kalau dari segi orang tasauf pula takrifan mereka lebih mendalam lagi hinggakan mereka tidak benarkan duduk bersembang di kedai kopi kerana membuang masa yang sepatutnya digunakan masa tersebut untuk beribadat pada Allah swt.

Dewasa ini juga penulis tenguk ramai juga orang Islam yang suka ke kedai gunting rambut bukan kepunyaaan orang Islam untuk menggunting rambut mereka. Perkara ini tidaklah salah, tetapi penulis rasakan  tidak bagitu selesa bila kita biarkan seorang penyembah berhala menguruskan hal rambut di kepala kita. Mengapa tidak kita berikan kepala kita kapada seorang Muslim untuk menggunting rambut kita.

Akhir kata marilah kita sama-sama berdoa kehadrat Allah swt agar diampunkan dosa kita di zaman dahulu kala, sekiranya kita terambil rezeki dari sumber yang meragukan atau termakan makanan yang tidak halal. Dipimpin kita kearah Islam, Iman dan Takwa dan bertambah baik amalan kita semua. AMIN

Wassalam

Akmal.

bahan yang tidak        

Tuesday, April 12, 2011

Ketulusan

" Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya ( dalam surat amalannya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya ( dalam surat amalanya) "

al Zaizalah 7-8

Salam pada semua,

Saban hari kita dimaklumkan oleh pihak media awam  berkenaan dengan perkara perkara kerosakan yang berlaku d imuka bumi ini akibat dari kerja tangan manusia sendiri.  Di Jepun sungguh pun pada asalnya merupakan satu kejadian gempa bumi ianya berlarutan hingga mengakibatkan pencemaran radiasi hasil dari kerja tangan manusia sendiri membina setesyen janakuasa letrik menggunakan kuasa nuklear.

Negara Jepun sebagaimana negara membangun di Eropah bagi menjadikan ekonomi mereka kompetitif mereka memerlukan kuasa tenaga yang murah. Jadi nuklear merupakan satu alternatif yang terbaik. Ini berdasarkan kos operasinya yang murah, semetelahan pula kos pelaburannya  yang tinggi berjumlah berbillion ringgit telah diambil kira sebagai "sunk cost" .  Bagitulah kerja tangan manusia sendiri yang mengakibatkan bencana berlarutan dari asalnya merupakan satu bencana alam.

Hasil dari setiap kerja tangan tersebut seperti mana dinyatakan pada ayat diatas akan dicatat dalam buku catitan di Luh Mahfuz. Bagitu juga kerja jahat akan ditulis oleh para malaikat yang senantiasa bersama kita pada setiap masa.

Hasil dari kerja baik pulangannya  dapat dilihat di dunia  lagi. Itulah keberkatan yang Allah swt kurniakan pada kita. Hati rasa tenang tidak timbul rasa resah gelisah. Rezeki yang didapati selalunya mencukupi.

Tapi kalau kerja jahat yang dilakukan di dunia ini sendiri akan mendapat balasannya. Selalunya sekiranya kita berbuat jahat nescaya hidup kita akan senantiasa muram. Jadi untuk mengatasi keadaaan muram tersebut akan diambil ubat ubat pencegahan yang akan memburukkan lagi suasana.  Akhirnya ramailah anak bangsa yang menjadi penghuni di pusat pusat serenti. 

Sejak kebelakangan ini pula timbul pula satu budaya ia-itu suka hidup secara bermewah-mewah. Tetapi dalam masa yang sama insan tersebut tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi bagi  menampung kehidupan mewah tersebut. Jadi untuk mengatasi keadaan tersebut dicari pendapatan dari sumber ketiga yang dalam setengah-setengah keadaan dari sumber sumber yang meragukan.

Pada zaman para sahabat bila jenazah Saydatinnaa Siti Fatimah puteri Rasulallah saw dibawa ke Tanah Perkuburan Baki' di Madinah al Munawarah untuk upacara pengkebumian,  para sahabat telah memaklumkan kapada pusara tersebut bahawa jenazah yang akan disemadikan disitu adalah jenazah puteri kesayangan Rasulallah saw. Untuk ini perlulah pusara itu menjaga jenazah puteri Rasulallah saw dengan baik.

 Tidak semena-mena keluar satu suara dari pusara tersebut menyebutkan bahawa pusara menjanjikan kebaikan bagi ahli pusara yang betul akidahnya, ikhlas pekerjaannya dan senantiasa  melakukan kebaikan dan kebajikan.  

Perlulah kita kita ambil ikhtibar dari pesanan dari pusara tersebut. 

Pengalaman penulis sendiri bila kita telah bersara kalau dilihat kembali sumbangan terbesar kita untuk diri sendiri adalah sejauh mana ketulusan "integrity" kita dalam bekerja. Sekiranya tidak ada ketulusan besar kemungkinan bila kita  bersara nanti kehidupan kita adalah dalam keadaan merana mengenangkan kerja tangan jahat yang  telah kita lakukan sewaktu bertugas dulu.  

Akhir kata marilah kita sama-sama berdoa kapada  Allah swt agar diampunkan segala kesalahan kita, dilindungi kita dari kerja tangan yang jahat. Moga moga kita terima buku catitan kita dengan tangan kanan dan buku amalan kita bersih senantiasa. AMIN.

Wassalam

Akmal.

Thursday, April 7, 2011

Majlis Ilmu

"Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut ( melanggar perintah ) Allah dari kalangan hamba-hamba NYA hanyalah terdiri dari orang orang yang berilmu"  

Fathir 28


Salam pada semua,

Sudah menjadi lumrah alam untuk berjaya kita perlukan ilmu pengetahuan. Hari ini kita lihat di Malaysia sendiri semua pihak berlumba- lumba untuk menuntut ilmu dan menjadi keazaman kebanyakan individu agar mendapat tempat cemerlang didalam sebarang ujian yang diadakan bagi mengukur tahap kefahaman insan tersebut terhadap ilmu yang dipelajari.

Kelas kelas tuisyen juga tumbuh seperti cendawan bagi menampung permintaan dari anak-anak agar mereka dapat lulus dengan cemerlang. Menjadi satu "magic formula" untuk berjaya perlukan ilmu pengetahuan di peringkat  cemerlang.

Pengalaman penulis sendiri sebenarnya memang  untuk berjaya kita perlukan ilmu pengetahuan. Sekiranya lulus dengan cemerlang diperingkat rendah dan menengah ianya satu paspot  untuk mendapat tempat untuk menyambungkan pelajaran di instutusi yang berjenama kemudian pula lulus dengan cemerlang di institusi yang berjenama tersebut menentukan pula mendapatkan pekerjaan di pusat pekerjaan yang berjenama juga.

 Di samping ijazah yang cemerlang dari institusi berjenama, ketokohan insan tersebut juga akan diambil kira. Ketokohan dari segi kepimpinan, kebolehan bekerja sebagai satu pasukan, berpekerti mulia dan kemahiran untuk berkomunikasi akan dinilai sebelum sebarang pekerjaan dapat  ditawarkan kapada individu tersebut.

Ditempat penulis bertugas dulu pun sememangnya keputusan cemerlang menjadi kriteria  untuk mendapat pekerjaan ditempat tersebut. Tetapi ianya tidak menjadi faktor penentu untuk menentukan kejayaan kerjaya ditempat tersebut.

Faktor penentu kejayaan kerjaya adalah disamping kemahiran dalam bidang tertentu individu tersebut juga perlu punya AKHLAK yang terpuji.  " Shared values==  integrity, proffesionalism, cohesiveness, teamwork .  Faktor faktor ini besar kemungkinan akan dapat mewujudkan insan insan yang bersikap  "charismatic and pragmatic " . 

Mereka yang berjawatan tinggi disyarikat Fortune 500 ini kebanyakannya berilmu, berakhlak mulia dan punya ketokohan sebagai seorang pemimpin.

Tetapi perkara-perkara tersebut belum mencukupi.  Mereka mereka ini mungkin hanya berjaya dunia saja. Ada juga tokoh tokoh disyarikat tersebut disamping berjaya sebagai seorang pemimpin mereka juga warak orangnya. Menjalankan  suruhan Allah s.w.t dan meninggalkan yang dilarang disamping itu meninggalkan juga perkara-perkara yang subahah.

Untuk wujudkan keadaan tersebut mereka ini rajin menghadhiri majlis majlis ilmu di Masjid masjid, mengambil Diploma Islam dari universiti universiti tempatan dan luar negeri disamping berjumpa dan bertalaki dengan para ulama yang mursyid.  

Mereka inilah insan-insan yang berjaya wajahnya tenang, seorang ketua yang bagitu effektif dan insan tersebut tahu bila timbul sebarang cabaran atau dugaan hanya pada Allah s.w.t. sahajalah tempat mereka mengadu.  Insan insan inilah yang sesuai pada takrifan ayat diatas. Mereka ini berilmu hal hal dunia dan akhirat.  Dengan ilmu di dada mereka ini mejadi insan yang soleh. Berjaya di dunia dan Insyallah berjaya juga di akhirat. AMIN.

Wassalam 

Akmal.        

Tuesday, April 5, 2011

SATU KENANGAN

 "Sesungguhnya kami milik Allah s.w.t. dan kapada NYA lah kami akan kembali "

AL Baqarah  156


Salam pada semua.

Pada tanggal 24 Mac 2011 diawal pagi kami dikejutkan dengan pemergian kakak kami. Pemergian yang tidak akan kembali lagi. Pergi menemui Allah s.wt. buat selama-lamanya. Moga moga Allah s.w.t. cucuri Rahmat keatas roh allahyarhammah, dijadikan pusaranya sebagai taman taman syurga dan diterima amalannya sebagai amalan yang soleh dan ditempatkan bersama-sama dengan para syuhadah. AMIN.

Penulis rasakan arwah kakak ia-lah seorang yang bagitu tabah menghadapi penyakitnya. Arwah seolah-olah bila berjumpa menunjukkan keadaan biasanya, sihat, riang  dan gembira tanpa menunjukkan sebarang reaksi terhadap penyakit yang bagitu meruncing yang arwah hadapi.  Penulis rasakan  keadaan kesihatan arwah  bertambah baik bila tengukkan keadaannya yang bagitu bersemangat menghadhiri program program anjuran keluarga dan juga program program yang di anjurkan oleh rakan rakan sepersekolahnya.

Kali terakhir berhubung dengan nya penulis mengatakan sekarang nampak badan sudah sihat boleh lah kita pergi berjalan ketempat-tempat yang telah kita rancangkan sebelum ini,  sementelahan semua adek beradek penulis semuanya telah menjadi YB ( yang bersara) .  Jawab arwah sepontan saja keadaan kesehatannya tidak menentu. Diakhir perbualan kami sama-sama ingatkan untuk banyak berdoa agar kita semua sihat dan dapat menjalankan aktiviti seharian dengan penuh keimanan.  Itulah percakapan terakhir dengan arwah. Selang tiga hari kemudian dapat berita diawal pagi kakak yang kami hormati dan sayangi telah di jemput terlebih dahulu oleh Allah s.w.t. kembali ke alam barzah.

Bagi saya arwah kakak memang istimewa. Kami sekeluarga secara keseluruhannya tidak pernah bermasam muka atau tidak bertegur sapa. Penulis rasakan bila arwah emak telah meninggal dunia , disamping arwah bapa kami,  kakak kakak dan abang abang kami lah yang menjadi pelindung dan penasihat kami yang masih kecil dan mentah lagi.

 Bila abang dan kakak kakak yang senior telah pun berkeluarga sendiri,  arwah kakaklah yang diantara lain  menjadi pendorong utama kami dan mentor kami yang masih muda belasan tahun.

Sebagai orang yang pertama dalam keluarga yang bergelar graduan arwah kakak banyak memberi semangat untuk kami terus berjuang. Bila kami duduk di Greentown termiang- miang bisikan di cuping telinga ajakan arwah kakak untuk kami belajar dengan penuh tekun sebelum menghadapi pepereksaan. Bila malam hari beliau lah yang meminta kami adek adek semua masukkan basikal kedalam rumah.

Pada waktu arwah mendapat gaji pertamanya  mengajar di sebuah sekolah menengah di Ipoh arwah memberi hadiah pertamanya  kapada arwah bapa kami ia-itu  satu set pencukur janggut dan untuk kami adek beradek pula kami di ajak untuk  makan nasi beriani di Rahman Restoran di pekan Ipoh. Oleh kerana waktu tersebut kami bukanlah orang yang berkemampuan kami memakan nasi beriani saja yang mana kalau diikutkan dengan standard hari ini satu jamuan yang sungguh besar dan istimewa  untuk kami yang jarang jarang makan di restoran.

Dari sinilah timbulnya bibit bibit tradisi keluarga menjamu sanak saudara bila saja  kita lalui hari hari keriangan tanda kesyukuran pada Illahi. 

Penulis masih ingat diwaktu darjah empat bila penulis tertinggal duit belanja sekolah arwah kakak terus datang kesekolah yang agak jauh untuk  menghantarkan duit belanja kapada penulis. Di sekolah menengah pula penulis merupakan seorang kadet polis. Bila ada perbarisan arwah kakaklah yang akan bersusah payah menggosok baju keras polis untuk dipakai sewaktu perbarisan.  Pengurbanan yang dilakukan oleh arwah kakak menjadikan penulis lebih gigih menghadapi hidup dunia ini dan menilai bagitu pentingnya kasih sayang dalam satu keluarga.

Pada waktu arwah ayah kami menunaikan haji di Mekah penulis diminta oleh arwah kakak untuk kepasar untuk membeli ikan dan sayur. Jadi penulis pun belilah ikan belanak dan sayur sawi. Arwah kakak yang menjadi tukang masak waktu tersebut memberitahu penulis ikan belanak ini susah untuk disiang dan kita kena cari ikan yang mudah disiang untuk menjimatkan masa. Dari sinilah penulis mula belajar tentang jenis ikan dan mula mengenali cara cara membeli ikan di pasar dan mula mengenali dapur untuk menjadi penghuninya. Bagitulah kesan didikan seorang kakak terhadap adeknya yang masih mentah lagi.

Seperti dikatakan tadi kami adek beradek secara keseluruhannya tidak pernah bergaduh atau bermasam muka. Penulis rasakan dua kali menangis sedeh mengingatkan hal arwah kakak.  Kali pertama sewaktu ziarah beliau di hospital Ipoh ditahun 1964 kerana arwah kakak terlibat dengan satu kemalangan jalan raya sewaktu beliau balik dari sekolah di pekan Ipoh.  Penulis menangis teresak-esak sedih bila melihatkan keadaannya yang terlentang dibilik kecemasan hospital Ipoh menahan kesakitan dari kecederaan yang dilaluinya.

Kali kedua yang paling sedih menatap wajah arwah yang telah kaku menjadi allahyarhamah pada tanggal 24 Mac 2011.  Jadi tinggallah kami 8 beradek menuruskan liku-liku kehidupan. Bagitulah Allah s.w.t. sayangkan  kakak kami menjemputnya terlebih dahulu untuk menjadi  arwah pada usia 64 tahun.

Jasa arwah kapada penulis amat besar sekali. Bila penulis tidak mendapat tempat untuk ke pre-U arwah kakaklah yang membiayai sebahagian daripada kos pengajian perengkat STPM hingga terus ke peringkat universiti pula. Tanpa pengorbanan arwah kakak besar kemungkinan penulis tidak akan sampai ke meja ini.

Semasa majilis konvekesyen universiti penulis rasa terkilan juga tidak teringat untuk menjemput arwah kakak hadhir bersama-sama kemajlis tersebut. Mungkin fikiran anak muda waktu tersebut tidak ketahuan apa yang penting yang perlu dilakukan.

Tapi penulis berasa syukur kapada Illahi kerana dapat bersama arwah kakak dan adek beradek lain mengerjakan umrah bersama dalam satu keluarga. Satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan pada malam terakhir kami di tanah suci di Mekah al Mukaramah arwah kakak telah menganjurkan majlis perpisahan. Kata kata manis arwah kakak masih terdengar dengar dicuping telinga penulis. Bagi pihak adek beradek dan anak saudara arwah kakak telah sampaikan hadiah tiga helai jubah dan dua buah buku. Dalam buku tersebut tercatat kata kata hikmat dari tulisan tangan arwah kakak sendiri
      
 " Kenangan abadi untuk Isyam ( Chu dan Tok Chu ) diatas segala usha murni dan budi yang mekar                    bagi  kami semua dalam usaha  meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita bersama"
                Semoga dirahmati Allah senantiasa    25/03/09  Hotel Fal Saha Mekah.

Bagitulah perasaan seorang kakak terhadap adeknya. Tapi si adek tidak sempat untuk merungkaikan sebarang kata Terima Kasih  untuk arwah kakak yang tersayang.  Ambillah iktibar dari pengurbanan arwah yang sering menjaga kebajikan adek beradeknya.

Bagi kita semua yang tinggal jangan lupa untuk doakan untuk arwah,  moga moga Allah ampunkan dosa arwah, diterima amalan arwah sebagai amalan yang soleh, dicucuri rahmat rohnya dan ditempatkan bersama sama para syuhadah. AMIN.

Al Fatihah untuk arwah kakak yang tersayang.

Wassalam

Akmal.
.           

Monday, April 4, 2011

Harapan

"Dan apabila hamba-hamba KU bertanya kapadamu tentang  AKU, maka jawablah bahawanya AKU adalah dekat. AKU akan mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kapada KU"   

Al Baqarah  186


Salam pada semua,

Menjadi lumrah hidup kita didunia ini,  kita akan menghadapi pelbagai ujian. Ujian dari segi kekurangan makanan, ujian bencana alam, ujian dari segi kesehatan dan ujian dari segi dunia pekerjaan. Boleh dikatakan setiap hari kita akan menghadapi pelbagai ujian.

Bila berhadapan dengan ujian sedemikian,  cara yang terbaik untuk mengatasinya seperti disebut oleh kitab suci  Quraan surah Al Baqarah ayat 186 marhumnya ketahuilah bahawa Allah s.w.t. itu dekat dan pohonlah doa dari NYA. 

Disamping itu ada sebuah hadhis diriwayatkan oleh Salman Al Farisi Nabi Mohammad s.a.w. bersabda 

       " Sesungguhnya Allah Mahahidup dan Mahadermawan. Allah s.w.t. malu,  apabila ada seseorang berdoa   
         kapada NYA, tetapi DIA membalas doa orang tersebut dalam keadaan hampa"

Jadi agama kita menyuruh kita untuk memperbanyakkan doa kita kapada Allah s.w.t. Disamping itu ajaran agama kita sendiri menyatakan Allah tidak akan jemu-jemu menunaikan hajat kita tidak seperti sekiranya kita memohon pertolongan sesama insan mereka akan jemu bila mana kita selalu sangat memohon bantuan dari insan tersebut. 

Jadi pohonlah pada Allah jangan rasa jemu dan bosan sebab kehidupan kita sememangnya dipenuhi dengan duri dan ranjau.  Dengan berdoa sajalah kita dapat melepasi duri dan ranjau tersebut.

Tapi sebelum berdoa perlulah kita berusaha untuk menjadi kekasih Allah s.w.t.  Bagaimana hendak menjadi kekasih Allah s.w.t. Kenalah kita menjadi hamba yang bertakwa tunaikan perentah NYA dan jauhi larangan NYA. Lebih baik lagi kita menjadi hamba yang warak disamping meninggalkan yang dilarang kita jauhi juga barang yang dikira subahah seperti pemakanan yang tidak pasti cara penyediaannya.

Pengalaman penulis sendiri dimasa yang lepas, bila kita berdoa pada  Allah s.w.t. diberikan NYA jalan keluar dari jalan yang tidak disangka-sangkakan.

Selain dari itu kita perlu banyak bersabar jangan berputus asa "kota Roma tidak dibina dalam masa sehari". Kita juga perlukan satu sekima jalan penyelesain dengan menulis beberapa alternatif jalan keluar. Insyallah jalan keluar akan dikenal pasti dengan pemberian idea dari yang Mahakuasa. 

Penulis juga dewasa ini senantiasa mendoakan akan menjadi hamba yang warak (masih jauh lagi perjalanannya) , dipohon rahmat dan dikurniakan anak-anak  yang soleh dan solehah. Menjadi harapan penulis bila kami kembali kealam barzah nanti anak-anaklah menjadi tempat bergantung untuk mendoakan untuk kesejahteraan arwah kami dialam barzah.

Marilah kita sama-sama berdoa agar Allah s.w.t. jadikan kita hamba yang soleh,  dirahmati, diberkati, mati kita dalam iman dan takwa dan dikurniakan anak yang soleh dan solehah.

AMIN

Wassalam

Akmal.      

Sunday, April 3, 2011

Hakikat satu Kematian

"Dimana pun kamu berada , namun kamu pasti akan mati sekali pun kamu berada didalam benteng yang tinggi dan kukuh"

An -Nisa 78

 Salam pada semua,

Sebagai hamba Allah s.w.t.  hakikat kematian merupakan satu kepastian. Kita akan mengharunginya walaupun kita merasakan bagitu seronok dengan  kehidupan didunia ini. Terlalu banyak contoh yang telah kita alami dengan kematian ibu bapa kita, adek beradek kita dan saudara mara kita sendiri. Mereka yang dulunya bersama kita dengan sekilip mata sahaja mereka telah di jemput oleh Allah s.w.t. ke alam barzah.

Persoalannya adakah kita setelah melalui pengalaman kematian ahli keluarga kita seperti disebutkan diatas mengambil iktibar diatas kematian tersebut.

Bagi yang menjadi ahli majlis ilmu dan jemaah masjid mereka akan tertanya-tanya bila pula giliran mereka dan cukupkah amalan yang telah dilakukan selama ini bagi dipersembahkan kapada Allah s.w.t. Mereka senantiasa bersangka baik pada Allah s.w.t. agar Allah s.w.t. menerima amalan mereka sepanjang hayat mereka dan diampunkan segala kesalahan mereka dimasa silam. 

Disamping itu dirinya merasakan  serba kekurangan masih banyak amalan yang perlu dipertingkatkan, yang mampu dilakukan hanya berdoa kapada Allah s.w.t. agar diampunkan segala dosa dan diberi rahmat sepanjang masa.

Bagi yang lain pula mungkin merasakan kematian sebagai satu lumrah alam yang tidak perlu diambil sebarang pengajaran dan  iktibar. Kalau diamati  insan sebagini serupalah seperti seorang penangkap ikan dilaut dalam pergi menangkap ikan tanpa perahu, tanpa kemahiran menangkap ikan dan tanpa bekalan makanan dan tanpa bekalan minyak bakar. Kalau lebih dekat lagi serupalah juga seorang pemandu kereta hendak pulang kekampong hendak memandu kereta tanpa kemahiran memandu dan tanpa bekalan wang ringgit untuk dibawa pulang kekampongnya.

Kalau dikembangkan lagi analogi tersebut kita dapati apa saja yang kita lakukan didunia ini perlukan persediaan, kemahiran dan bekalan. Hendak menjadi tokoh korporat kita perlu ada kemahiran dan bekalan seperti modal, kakitangan yang berwibawa, jelas "vision and mission".  Hendak menjadi seorang jurutera berkanun kita perlu ada persediaan, kemahiran dan juga bekalan yang mungkin merupakan pengalaman bekerja, modal untuk dilaburkan dan mungkin juga susur jalur rakan perniagaan sebagai satu sistem sokongan. Tanpa persediaan tersebut kita akan pasti gagal kerana mengharung ketentuan Ilahi.

Menjadi satu ketentuan bahawa setiap perkara yang kita uruskan di dunia ini perlukan persediaan, kemahiran dan bekalan. Tapi ramai dari kita umat Nabi Mohammad s.a.w. tidak berfikiran sedemikian bila berhadapan dengan sesuatu yang pasti berlaku ia-itu kematian.   

Jadi untuk itu kita perlu berfikir apakah kemahiran dan bekalan untuk kita bawa ke alam barzah nanti.  Kemahirannya adakah kita mempunyai ilmu yang bermenafaat yang dapat menolong kita menghadapi saat-saat kematian. Banyak ilmuan mengatakan kalau hidup kita tanpa Zikrullah dan agama Islam sebagai satu cara hidup adalah amat sukar untuk kita mengucap kalimah Syahadah disaat saat kematian nanti. Ini perlukan satu kemahiran tentang zikrullah dan cara hidup umat Nabi Mohammad s.a.w. Bagitu juga setelah hidup puluhan tahun apa pula amalan yang merupakan bekalan yang hendak dipersembahkan kapada Allah s.w.t. nanti.

Ingatlah amalan kita seperti solat, bacaan Al Quraan, sedekah jariah, puasa, haji dan sebagainya  akan menjelma  sebagai lembaga menjadi teman kita dialam barzah nanti. Lembaga  inilah yang akan membantu kita dan memjadi saksi diatas segala kerja baik yang kita lakukan sebagai bekalan kita dari dunia yang fana ini.

Marilah kita sama-sama berdoa agar Allah swt ampunkan dosa kita dan diterima amalan kita sebagai amalan yang soleh dan sekiranya kita perlu pergi dulu pohon pada Allah s.w.t.agar  akhir kalam kita adalah kalimah Syahadah dan dijadikan pusara kita sebagai taman-taman syurga. AMIN.

Wassalam

Akmal.