Powered By Blogger

Wednesday, December 22, 2010

ZIKIR

"Ingatlah hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram"

ar Rad 28  

 Salam pada semua,

Menjadi lumrah hidup manusia kita akan diuji pada tiap ketika. Diuji dengan kekurangan makanan, penyakit, ketenangan jiwa, keadaan cuaca yang tidak menentu  dan kadang kala fe'el ahli keluarga yang boleh menyebabkan kita sakit jantung.

Dalam hadapi dugaan ini apakah cara kita untuk menanginya. Ada yang pergi jogging, ada yang duduk termenung, ada yang membuat perkara-perkara diluar batasan  ugama dan sebagainya. Pohon perlindungan dari Allah swt agar kita dijauhi dari melakukan perkara-perkara  diluar batasan ugama bila menghadapi ujian dariNYA.

Ugama kita sediakan jawapan seperti yang dinukilkan pada ayat terjemahan surah ar Rad ayat 28. 

Dalam hal ini penulis berkesempatan berjumpa dengan seorang Tuan Guru bertanyakan bagaimana persediaan untuk jumpa dengan pihak berkuasa sebagai misalan seorang ketua pejabat. Tuan Guru tersebut menyarankan agar membaca ayat tersebut sepenuhnya didalam bahasa al Quraan. 

Jadi disamping mengajar kita cara untuk mengawal emosi kita ayat tersebut juga merupakan pendinding untuk bertemu dengan pihak yang berkuasa.

Ayat tersebut menyarankan bahawa untuk tenang kita perlu menyebut kalimah Allah dan sebarang kalimah yang mendekatkan diri kita dengan Allah swt. Berbagai zikir yang boleh dilakukan bagi kita orang awam seorang Tuan Guru menyarankan agar kita banyak berselawat. Insyaallah dengan banyak berselawat masaalah kita akan dapat dirungkai dan Allah swt beri kita  jalan keluar dari jalan  yang tidak disangka-sangka. 

Cara lain kita boleh baca sebarang kalimah zikir yang lain tapi yang paling mudah sebutkan kalimah Allah beratus kali atau baca surah al Fatihah beberapa kali. Insyallah hati kita akan tenang dan gembira. Tapi ini semua akan tercapai kalau kita mendirikan solat fardhu. Jangan mimpi hati akan tenang kalau solat fardhu pun tidak didirikan.

Untuk peningkatan kita perlu membaca baca kitab suci al Quraan tiap hari lepas solat fardhu. Kalau dibaca empat muka sehari Insyallah dalam masa 3 bulan kita boleh khatam.  

Tapi yang ini penulis pun tengah berazam hendak lakukan. Ada sahaja halangan tertentu bagi mencapai hajat  tersebut. Inilah kelemahan peribadi si penulis. Hanya tinggal keazaman saja. Moga-moga Allah swt  berikan kekuatan bagi kita semua dapat khatam al Quraan tiga bulan sekali. INSYALLAH.

Jadi dari sini kita sudah nampak ramuan untuk berjaya telah pun dibentangkan hanya kita sahaja hendak buat atau tidak. Tapi pokok pangkalnya kita kena yakin akan pertolongan dari Allah swt. Pertolongan dari Allah swt hanya dapat dikecapi dengan kerja amal soleh terutama solat fardhu kita.

Akhir kalam marilah kita sama-sama berdoa agar kita diberi ketenangan dengan senantiasa berzikir, bersyukur dan beibadat hanya untuk Allah swt. Moga-moga kita semua menjadi hamba yang soleh dan solehah. AMIN.

Wassalam

akmal.  
,

Tuesday, December 21, 2010

AYAHANDA BONDA

 ' Tidaklah seorang pemuda yang memuliakan seorang tua kerana usianya melainkan  Allah swt tetapkan baginya orang yang akan memuliakannya ketika usia tuanya '

 Hadith  riwayat al Tirmizi


Salam pada semua

Dewasa ini ramai dari kita mempunyai ayahanda dan bonda yang telah lanjut usianya. Diwaktu bagini bagi seorang bonda dan seorang ayah tempat menumpang kasih hanyalah pada anak-anaknya sahaja. Tempat bergantung sudah tiada kalau punya wang beribu atau berjuta apalah guna wang tersebut jika seorang anak tidak dapat menimbal balik kasih kedua ayah dan ibu yang telah membelai anak-anak  tersebut sejak dari kecil lagi.

Penulis rasakan kemahuan seorang ayah dan ibu diusia lanjut ini tidaklah banyak hanya tempat berteduh, mendapatkan sekeping dua roti kering sebagai makanan harian tapi yang lebih utama layanan mesra seorang anak kapada ibu bapanya.

Ilmuwan agama kita ada menyatakan disamping melihat Kaabah, melihat al Quraan,  seorang anak melihat wajah ibu bapanya juga akan mendapat pahala. Jadi kalau punya kesempatan dizaman yang canggih ini selalulah balik ziarah ibu bapa kita di kampong kalau tidak pun tiap hari taliponlah pada ibu dan ayah  kita  bertanyakan khabar. Itulah tanda anak yang soleh dan solehah.

Hadith diatas gambarkan kalau kita kasihkan seorang tua kita akan menerima balasan setimpal bila tiba hari tua kita pula. Kalau bagitu tinggi sekali martabat melayan orang tua tambahan pula kalau kita melayan ibu bapa kita sendiri yang paling hampir dengan kita. Tentulah Allah swt akan lebih menyangi kita.

Dizaman Nabi Mohammad saw,  Nabi kesayangan kita selalu terkena balingan sampah atau air kotoran yang dibuang oleh seorang tua yang marah pada Nabi Mohammad saw kerana usaha Nabi berdakwah mengembangkan ajaran Islam. Tapi Nabi Mohammad saw tidak pun marah sebaliknya menyediakan bubur untuk dimakan oleh orang tua tersebut bila Nabi mendengar berita orang tua tersebut tidak sihat. Bagitulah kasihnya Nabi Mohammad saw pada seorang tua yang boleh dijadikan iktibar.

Dizaman ini pula pengalaman penulis sendiri yang terjadi disuatu tempat  seorang anak dikatakan bersifat sadikit kasar dengan ibu bapanya sendiri dan ibu hanya mengeluh mengalirkan air mata mengenangkan nasib  layanan buruk sianak kapada ibu bapa kandungnya sendiri.

Tapi bagi yang tahu sejarah keluarga tersebut akan terkenang bilamana layanan ibu tadi ketika muda  terhadap arwah ayah dan ibu nya sendiri yang telah meninggal dunia beberapa tahun yang silam adalah amat buruk. Jadi perkara yang sama terpalik pada diri si ibu itu sendiri.

Benarlah hadith Nabi yang dinukilkan diatas.

Jadi sebagai renungan perlulah kita menjaga kedua ibu bapa kita sebaik mungkin dan pahalanya amat besar sekali. Kalau ada kerenahnya bersabarlah hidup didunia ini pendek sekali paling tinggi pun ibu bapa kita akan bersama kita secara purata tidak lebih dari 10 tahun.  Bentukkanlah keazaman kalau ibu bapa kita masih sihat dan kita punya rezeki yang berlebihan bawalah mereka bercuti tapi yang paling baik sekali bawalah  mereka mengerjakan umrah. 

Disamping itu kita kena ingat ibu bapa mentua kita adalah ibu bapa kita juga tidak ada perbezaan antara mereka dari segi tarafnya.. Bila berdoa selepas solat doakan juga kedua ibu bapa mentua kita ( sebutkan nama-nama mereka sekali ) hidup kita bertambah berkat dan kasih sayang antara suami isteri pula bertambah erat. 

Kalau kita sendiri hadapi zaman buntu atau kesukaran  mintalah kedua ibu bapa kita mendoakan kejayaan kita. Jangan segan dan silu mintakan doa mereka,  Insyallah, Allah akan makbulkan. Bagitulah beruntungnya bagi mereka yang masih punya ayah dan ibu.

Bagi mereka yang ibu bapa telah pun kembali kerahmatullah selepas solat doakan untuk mereka. Kalau kita membuat amal soleh niatkan sekiranya ada pahala amal soleh tersebut kita hadiahkan pada arwah ibu bapa kita dan arwah mentua kita. Kalau kita balik kekampong ziarahlah sahabat-sahabat arwah bagitu kemas sekali jaran agama kita.

Ingatlah kalau kita berkasar pada ibu bapa kita bila sampai hari tua kita pula anak-anak kita akan berkasar dengan kita pula.

Wassalam 

Akmal.        

Monday, December 20, 2010

Solat yang Khusu'

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Ia-itu mereka yang khusyu' dalam solatnya.

Al Mukminun  1-2

Salam pada semua

Menurut firman Allah swt yang terjemahanya ditulis diatas untuk berjaya di dunia dan akhirat kita perlu khusyu' dalam mendirikan solat kita.

Ditiap hari ini inilah persoalan pokok yang kita hadapi.  Pernah satu ketika penulis berpeluang berjumpa dengan seorang alim  ( umurnya lebih 80 tahun dan anak muridnya mengkisahkan bahawa amalan harian Tuan Guru ini ia-lah mengkhatam Quran dalam masa tiga hari dan sehari sahaja semasa mudanya) dan bertanyakan bagaimana hendak menjadi hamba Allah swt yang rajin bersolat. Jawapan orang alim itu  rengkas sahaja jaga mutu solat.

Didalam pengurusan moden pun selalu dipertekankan yang penting kualiti bukannya kuantiti. 

Ada ilmuwan menyatakan untuk kyusu' dalam solat perlu memahami semua bacaan dalam solat barulah datang khusyu'. Ada juga ilmuwan mengatakan  hadhirkan  dalam diri kita kebesaran dan kasih kita pada Allah swt barulah  datang khusyu' .

 Oleh kerana perkara ini merupakan sesuatu yang ghaib ia menjadi satu rahsia besar diantara kita dengan Allah swt. 

Penulis rasakan yang penting waktu solat kita perlu pastikan dan berazam agar fikiran kita tidak merawang pada benda lain yang selalunya tidak relevan dengan ibadat solat yang sedang kita dirikan.  Kadang kala kita teringat kunci kereta, ada juga  teringat lauk apa yang hendak dimasakkan pada hari ini. Ini semua tidak ada kena mengena dengan ibadat kerja solat yang sedang didirikan.

Menurut seorang sahabat penulis didalam penelitiannya orang yang khusyu' solatnya memang nampak keberkatan kehidupanya dari segi raut wajah mukanya dan akhlak budi peribadi harian individu tersebut. 

Menurut sahabat tadi yang juga merupakan seorang juru mandi jenazah jika seorang itu  ikhlas dan warak beribadat orang tersebut bila dia meninggal dunia nampak kesanya. Bila jenazahnya dimandikan  tubuhnya bagitu lembut untuk diuruskan untuk mencuci tempat-tempat yang sulit yang memerlukan pergerakan anggota tubuh jenazah tersebut,

Jadi dari situ seorang juru mandi jenazah dapat merasakan kedudukan jenazah dalam alam barzah nanti. Ini adalah pemerhatian umumnya tanpa melibatkan jenazah tertentu. Bagitulah pandangan peribadi  seorang juru mandi jenazah setelah memandi puluhan mungkin juga ratusan jenazah dikawasan tempat tinggalnya.

Berbalek pada ayat tadi kita kena yakin janji Allah swt itu adalah benar.  

Penulis sendiri insaf akan kelemahan penulis berkenaan soal solat ini. Banyak perkara yang perlu dibaiki tentang solat berjemaahnya, tentang khusu'nya,  tentang mutu bacaannya , tentang mengkhadakan solat yang tidak dibuat masa zaman jahiliah dulu dan juga tentang wirid lepas solat. Ini semua memerlukan pemerhatian yang khusus. Masih jauh lagi perjalananya hanya mampu pohon keampunan dari Allah swt dan pohon rahmat dari Allah swt saja yang penulis mampu.

Penulis rasakan banyak muhasabah diri perlu dilakukan. Marilah kita sama-sama berdoa agar Allah swt melindungi diri kita dari sikap riak dan takabbur dan doa kita pada Allah swt agar kita senantiasa khusu'dalam solat kita. AMIN. 

Friday, December 17, 2010

Ikhlas

"Tidak disuruh mereka itu melainkan menyembah Allah dalam keadaan ikhlas"

Al Bayinah 5

Salam pada semua

Penulis merasakan inilah topik yang paling sukar untuk dipraktikkan tapi mudah pula hendak diceritakan Topik ini menjadi dugaan kita tiap hari adakah kita dapat menjadi hamba yang soleh atau kecundang ditengah jalan.

 Apa dia ikhlas? ,  secara mudah kita katakan apa saja yang kita lakukan adalah kerana Allah swt bukan hendak mencari "glamour"atau "publicity".  

Segala amal kita akan dipereksa oleh Allah swt dari segi ikhlas nya barulah dapat pahala kalau hendak cari glamour segala usaha kita akan menjadi sia-sia belaka disisi Allah swt.

Untuk mendapat penjelasan lanjut berkenaan ikhlas ikuti kisah berikut:

Dizaman Nabi Mohammad saw telah menjadi kebiasaan sahabat Nabi.  Bilal bin Rabbah akan mengumandangkan azan tiap kali masuk waktu solat fardhu. Ada seorang sahabat memohon pada Nabi untuk diberi kesempatan pula padanya untuk mengemundangkan azan. Nabi tidak bagitu setuju baginya untuk melaungkan azan. Oleh kerana sahabat ini telah memohon beberapa kali maka Nabi pun memberi laluan padanya. 

Pada waktu yang ditetapkan Bilal direhatkan untuk memberi peluang sahabat tadi melaungkan azan.  Menurut kisah setelah luput waktu solat malaikat dilangit tertanya-tanya sudahkah azan dilaungkan oleh penduduk bumi.  Para malaikat ternanti-nanti laungan azan dari penduduk bumi. Perkara ini sampai kepengetahuan Nabi dan memaklumkan penduduk Madinah telah pun bersolat selepas azan dikumadangkan oleh sahabat tadi. 

Nabi faham azan tadi tidak sampai ke malaikat bila-mana ianya dikumandang tidak dengan ikhlas. Sahabat yang mengambil tugas Bilal bin Rabah tadi mempunyai suara yang lunak dan ia telah melaungkan azan kerana hendak pamirkan kelunakan suaranya bukan kerana hendak beribadat pada Allah swt.

Dari kisah diatas kita perlu ambil iktibar biarlah kita bertugas kerana Allah swt bukan hendak cari "glamour" atau sebab hendak "mencari sesuap nasi".

Bagaimanakah hendak mencari keikhlasan. Ini mungkin dicapai melalui pertingkatkan amalan kita banyakkan  zikir,  kadang-kala kena perkuatkan tasauf kita.

Pengalaman penulis sendiri kalau kita ikhlas kita dapat kelepasan dari tempat yang tidak disangka-sangka. Kalau pergi mesyuarat pengurusan pun kita tidak perlu bimbang kerana kita lakukan kerana kita ikhlas kerana Allah swt. Tanda-tanda kita  ikhlas ia-lah kita tidak merasa kecewa bila dikeji dan tidak pula merasa bangga diri bila dipuji.  Dekatkan diri dengan Allah swt,  Insyaallah,  Allah akan bantu kita.

Penulis ini juga kadang-kala kalah dalam hal ini terutama bila bertugas dengan tempat ibadah,  rasa sangat kurangnya sifat mahmudah ini bila berhadapan dengan tentangan tugasan ditempat ibadah.  

Marilah kita sama -sama berdoa agar Allah swt lindungi kita dari sifat-sifat bangga diri dan suka mencari glamour.

Wassalam

akmal.   

Menuju Kearah Kebaikan

"Sesiapa yang menunjukkan atau mengajak kepada kebaikan, maka baginya pahala seperti pahala orang yang melakukannya"

Hadith riwayat Ahmad, Abu Daud  dan Al Termizi 


Salam pada semua,

Di tempat penulis bertugas dahulu pada tiap tahun sebagai aktiviti tahunan syarikat tersebut diadakan majlis  jamuan  makan tahunannya. Majlis tersebut akan diserikan dengan persembahan kakitangan mewakili jabatan masing-masing.  Aktivi tersebut diadakan dizaman 80an dimana kesedaran Islam dimasa tersebut  tidaklah sehebat seperti yang terdapat pada hari ini.

Dimasa tersebut penulis mempunyai seorang sahabat yang bagitu committed perjuangan Islamnya ( Beliau telah pun kembali kerahmatullah:  Al fatihah untuk arwah Fuad).  Bila arwah datang ke di KL untuk tugasan pejabat ( dimasa itu arwah bertugas di luar KL ) arwah akan datang ke meja penulis menceritakan tentang Islam dan satu dari topiknya ialah bila kita buat program kearah kemungkaran semua dosa mereka yang hadhir akan ditanggung oleh si penganjur tetapi sebaliknya jika kita buat program kebajikan atau mengajak kapada kebaikan pahala peserta akan juga didapat oleh sipenganjur seperti yang dinukilkan pada hadith diatas.

Arwah timbulkan perkara ini mengajak kami supaya anjurkan program kebajikan jangan sentuh perkara mungkar.  Penulis berasa beruntung punya sahabat yang mengingatkan penulis tentang perkara ini dan kisah ini berlaku kira-kira 30 tahun dulu.  

Pekerja sekarang ini lebih beruntung kerana aktiviti sedemikian jarang diadakan pada hari ini.  Pejabat-pejabat hari ini bagitu aktif  mengatur program tazkirah pada tiap hari bekerja.  Jadi untuk ini sebagai pekerja rebutlah peluang jadikan diri anda sebagai penganjur program kebajikan Insyaallah pahala peserta program akan kembali pada anda sebagai penganjur. 

Banyak program kebaikan yang boleh dilakukan seperti mengadakan summer camp untuk anak pekerja jabatan kita, lawatan ke pusat pemulihan dadah atau lawatan ke penjara untuk kita dedahkan pada anak pekerja tidak ada pulangan jika kita menjadi sampah masyarakat. Paling tidak pun kita boleh anjurkan program ziarah kerumah rakan sekerja kita yang telah bersara, yang uzur atau isteri rakan sepejabat kita yang bersalin.

Dewasa ini penulis lihat pekerja hari ini jarang sekali hendak berkunjung kerumah sahabatnya. Dulu dizaman 80an dan 90an kami sebagai pekerja akan anjurkan ziarah  hari raya rumah kerumah selepas kerja.  Kalau ada rakan yang uzur pula cepat sekali kami akan menziarah sipesakit tersebut. 

Jadi bagi pemimpin muda ambillah peluang ini tunjukkan bakat kepimpinan anda dengan menganjurkan kerja kebajikan seperti yang disebut hadith tadi pahalanya akan kembali pada sipenganjur tanpa kurang sikit pun pahala peserta yang membuat kerja kebajikan tadi.  Kita perlukan lebih ramai pemimpin untuk menjadi penganjur program kebajikan dan percayalah bakat kepimpinan anda akan terserlah dan akan diberi perhatian oleh ketua pejabat anda. Tapi kena jaga "nawaitu" kita.

Marilah kita sama-sama doakan agar kita diberi nikmat Islam dan Iman menjadi hamba yang bertakwa berjaya didunia dan di akhirat. AMIN

Wassalam

Akmal.

Thursday, December 16, 2010

Satu Perancangan

Orang kafir membuat helah dan merancang dan Allah juga merancang dan rancangan Allah swt lah yang terbaik

Al  Imran  54


Salam pada pembaca,

Ayat diatas menurut ahli tafsir adalah berkenaan dengan perancangan jahat orang kafir untuk membunuh Nabi Isa. Tapi perancangan Allah swt adalah lebih kemas dan terbaik. Sebenarnya Nabi Isa telah diangkat kelangit sementara tempat Nabi Isa diambilalih oleh seorang kafir bernama Totyanus yang Allah swt ubah wajahnya menjadi serupa dengan Nabi Isa. Totyanus orang yang menyerupai Nabi Isa ini kemudiannya dibunuh oleh rakanya sendiri yang menyangka dia sebenarnya Nabi Isa. Jadi perancangan jahat orang kafir telah diatasi dengan perancangan Allah swt yang terbaik yang maha kuasa.    

Ayat diatas ada relevanya hari ini kerana semua perkara yang kita lakukan perlukan satu perancangan yang teliti.

Sebagai seorang yang dilatih didalam bidang kewangan dan ekonomi sebahagian besar hidup bekerja penulis terlibat didalam bidang perancangan. Penulis merasakan kejayaan organisasi tempat penulis bertugas kejayaanya disamping mempunyai kakitangan yang berdedikasi juga bergantung pada sistem kerjanya yang mantap termasuk sistem perancangannya. 

Perancangan organisasi tersebut bagitu mantap hinggakan perjalanan organisasi dan arah tujuannya untuk 5 atau 20 tahun akan datang telah dapat dikenal pasti. Bagitulah pentingnya perancangan bagi kita mengharungi hidup ini.

Kalau kita amati Nabi Mohammad saw juga  adalah seorang perancang. Kalau diamati Hijrah Nabi ke Madinah telah dirancang 2 tahun awal lagi sebelum Hijrah Nabi. Dimalam Israk Mikraj,  Nabi ditunjukkan kota Yathrib yang akan menjadi tempat Nabi berhijrah dimasa hadapan.

Nabi Mohammad juga mengikat janji dengan penduduk Madinah yang akan memberi sokongan padanya bila sampai ke Madinah nanti. Janji tersebut dibuat semasa beberapa wakil penduduk Madinah datang ke Mekah untuk mengerjakan haji. Bagitu juga diwaktu Hijrah teman yang dilantik adalah sahabat ikrabnya Saidina Abu Bakar Al Sidek, Asmak sebagai pembawa makanan sementara Saidina Ali pula menjadi wakil Nabi tidur di tempat Nabi. Pengembala kambing pula dikerah untuk menutup jejak Nabi bila kambing-kambing tersebut berjalan diatas padang pasir mencari rumput.

Ini menunjukkan bahawa Nabi Mohammad saw adalah seorang yang strategis tidak melakukan sesuatu perkara tanpa perancangan awal. 

Sebagai seorang muslim penulis berpendapat dari segi pengalaman peribadi penulis sendiri perlunya kita merancang dari segi pembangunan rohani kita, perancangan pembangunan akal dan akhir sekali perancangan pembangunan fizikal kita.

Dari segi perancangan pembangunan rohani sebagai misalan adakah kita merencanakan hidup kita dengan  mendirikan solat jemaah tiap hari, ikuti majlis ilmu pada tiap malam  dan menghafal surah-surah Al Quraan.

Dari segi pembangunan akal pula sebagai misalan adakah kita telah membangun kemahiran kita untuk menjadi seorang pekerja yang terbaik. Adakah kita faham dengan stuktur perniagaan organisasi kita apakah faktor-faktor kejayaannya. Adakah kita punya kemahiran berkomunikasi secara lisan dan tulisan. 

Dari segi perancangan fizikal pula adakah kita punya tubuh badan yang sihat. Takut menyesal dihari kemudian. Perlunya satu perancangan untuk makanan seimbang dan latihan tubuh badan.

Pengalaman penulis sendiri tiap perancangan perlu ditulis sebagai action plans agar kita dapat capai matlamatnya.

Malangnya penulis ini kekadang pandai teori saja diri sendiri tidak terurus. Ini tanda lemahnya Iman sipenulis. . Marilah kita bersama-sama berdoa agar kita menjadi Insan yang soleh dan solehah dan senantiasa membuat perancangan yang rapi dan disamping itu pohon doa dari Allah swt untuk rahmat dan berkatNYA diatas segala perancangan yang kita buat.  Insyaallah 

Wassalam 

Akmal.    

Saat Gembira

Wahai sekelian orang-orang yang beriman Mintalah bantuan ( dalam menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Allah ) dengan bersabar dan dengan mendirikan solat.

Al Baqarah  153    


Salam pada semua,

Berdasarkan pengalaman kehidupan penulis sendiri setiap masaalah yang kita hadapi akan dapat dirungkai dengan bersolat dan bersabar.

Setelah hidup bekerja lebih dari 30 tahun dan juga mengharung liku-liku hidup lebih dari 50 tahun tidak ada jawapan terhadap segala permasaalahan  hidup ini melainkan kita akan jumpa jawapannya dengan solat, doa dan bersabar.

Penulis masa hidupnya juga sebagaimana insan lain hadapi pelbagai dugaan. Tapi yang beratnya dugaan kerja. Bila hadapi kerenah pihak ketiga dan kita pula dilatih untuk bertugas dengan bersungguh-sungguh tidak ada "magic formula"  bagi hadapi segala rintangan tersebut melainkan dengan solat, doa dan bersabar.

Disamping itu usaha perlu dijalankan,  barulah pohon pertolongan dari Allah swt. Usaha tersebut mestilah dibuat dengan gigih dengan keupayaan yang ada pada kita. Banyak dari kita tidak membangunkan kebolehan dan kecekapan diri kita (skills) ini perkara pokok yang perlu kita ada. Bila kita ada kebolehan dan kematangan bekerja apa saja rintangan dapat kita hadapi disamping pohon pertolongan Allah swt dengan solat, doa dan bersabar diatas ketentuanNYA.

Sekali lagi saya ingin tekankan usaha tersebut mestilah disertakan dengan "nawaitu" nya semata-mata beribadat pada Allah swt.

Sekarang ini bila hidup sebagai seorang pesara dugaan lain pula yang mendatang seperti yang disebut dalam ayat 155-157 Surah Al Baqarah tadi. Bagitulah lumrah satu kehidupan. Kita tidak akan  sunyi dari cabaran dan dugaan. Sebagai Muslim kita patut bersyukur adanya tempat mengadu ia-itu pada Allah swt.

Pengalaman penulis sendiri bila selesai saja bersolat ( solat sunat atau fardhu ) Insyallah tuhan akan tunjukkan jalan keluarnya. 

Dari segi usaha untuk cari jalan penyelesaian kita buat 3 atau 5 alternatif sebagai action plans dan tiap alternatif cari baik dan buruknya , positif dan negatifnya dan tulis atas kertas.  Idea penyelesaian tersebut   kalau dikaji secara mendalam ianya dari Allah swt sebab kita ini hamba dan kepunyaanNYA.  Insyallah jalan penyelesaian dapat kita jumpa. Ini berdasarkan pengalaman peribadi penulis sendiri.

Marilah kita sama-sama berdoa agar diberikan taufik dan hidayah dariNYA agar kita senantiasa menjadi hamba yang soleh dan solehah. AMIN.

Wassalam

Akmal.


Hadapi Cabaran dan Dugaan.

Dan sesungguhnya KAMI akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan dan beri khabar gembira kapada orang-orang yang sabar.

(Orang-orang yang sabar ia-lah) apabila ditimpa musibah mereka berkata" Sesungguhnya kami dari Allah dan kami akan kembali pada NYA.

Mereka memperoleh keberkatan dan rahmat dari Tuhannya dan mereka itulah yang mendapat petunjuk.

Al -Baqarah ( 155-157)

  Masa saya bertugas dulu dan hingga kini ayat diatas selalu menjadi motivasi diri untuk bangun dan terus berjuang menghadapi cabaran dan dugaan.  

Sememangnya petang Ahad selalunya merupakan hari mendong, memikirkan tugasan kerja yang akan dihadapi besuk hari. Jadi seperti biasa saya awal ke Masjid untuk dirikan solat Maghrib. Didalam perjalanan ke Masjid bila dipasang radio siaran  agama sedang berkumandang.

Pengancara radio membaca ayat diatas dan terus membaca tafsir dan huraiannya.  Selepas mendengar bacaan ayat dan tafsirnya penulis merasakan ayat tersebut bagitu relevan dengan masaalah penulis dimasa tersebut. Ayat tersebut menimbulkan semangat baru bagi penulis untuk bertugas dibesuk hari.

Inillah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan hingga kehari ini bagaimana Allah swt mengabulkan  doa hambanya yang merasa bagitu murung bagi menghadapi kerja-kerja pejabat besuk hari. Semenjak dari hari itu ayat diatas senantiasa menjadi renungan tiap kali menghadapi cabaran dan dugaan yang berat.  

Saya akui sebagai insan biasa kita ini lemah dari banyak segi. Hendak buat kerjapun banyak cabaran nya. Kadang kala terjaga diwaktu malam memikirkan kerja kita.  Jadi dengan beramal dengan ayat  diatas  banyak soalan dapat dijawab dan kehidupan bekerja pun menjadi lebih tenang dan lebih kemas.

Disamping ayat tersebut kita kena senantiasa beringat bahawa apa saja tugasan yang dilakukan adalah kerana Allah swt semata . Untuk menjadi khalifah dibumi ini pun kita hendaklah berniat kerana  beribadat pada Allah swt. Barulah pertolongan dari Allah dapat kita nikmati. 

Ayat diatas boleh juga digunakan untuk sebarang keadaan seperti tidak cukup wang untuk belanja, suami yang tidak menunaikan tugasannya, anak yang tidak sihat, kekurangan rezeki dan sebagainya. Perlu bersabar dan ucapkan " Dari Allah kita datang kapada Allah kita kembali". Janji Allah kita akan diberi kemenangan. Yakinlah pada janji Allah swt.

Dipejabat dulu pun saya selalu dikunjungi sahabat-sahabat dari jabatan lain mengadu hal masing-masing. Saya selalu gunakan ayat diatas untuk memberi panduan pada mereka.  Bagi mereka saya maklumkan perlu banyak bersabar dan hidup didunia ini hanya sementara saja hidup di akhirat yang kekal abadi.

Jadi selalulah renungkan ayat diatas agar hidup kita lebih tenang dan berpeganglah dengan janji kita apa saja yang kita lakukan adalah kerana beribadat pada Allah swt. Insyaallah kita akan jadi lebih tenang dan gembira senantiasa. AMIN.

Wassalam 

akmal.     

Wednesday, September 29, 2010

Tujuan Hidup


Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-KU

Adz Dzaariyat (51-56)



Salam pada semua.  

Penulis dimaklumkan oleh seorang ilmuan Islam untuk kita berjaya di dunia dan di akhirat kita perlu memahami apakah tujuan hidup kita sebenarnya. Mungkin ramai dari kita orang Islam masih kabur dan tercari-cari apakah objektif satu kehidupan.

Bagi mereka yang bekerja kita selalu diberitahu tentang "vision,mission statement and shared values" bagi syarikat tempat kita bertugas tapi bagi diri kita sendiri sebagai satu individu adakah kita faham apakah objektif kehidupan kita sebenarnya.

Ayat Al Quraan surah Al Dzariyat (51-56 ) yang bermaksud diatas jelas akan objektif hidup kita didunia ini ada-lah semata-mata untuk memperhambakan diri kapada Allah swt. Inilah merupakan inti-pati tujuan satu kehidupan. Memperhambakan diri dalam erti-kata menjalankan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang pada tiap masa dan tiap ketika. Bila menjalankan disuruh kita perlu menjalankan ibadat khusus dan ibadat am. 

Ibadat khusus ia-lah seperti yang termaktub didalam Rukun Islam yang Lima dan ibadah am ia-lah tingkah laku kita selama 24 jam sehari semalam. Ini termasuk waktu kerja kita, waktu keluarga kita, waktu sukan kita dan waktu rehat kita. Semuanya dikira ibadah sekiranya kita berniat melakukan aktiviti tersebut kerana Allah swt.  Termasuk kerja penulis ini  mengarang sesuatu tentang agama Islam dalam blog ini perlu diniatkan sebagai beribadah pada Allah swt. 


Jadi penulis rasakan inilah rahsia bagi kita mendapatkan masa yang berkualiti bila saja kita lakukan sesuatu diluar waktu ibadah khusus kita.  Bila saja kita berniat kita lakukan kerana Allah swt kita akan bekerja sebagai penjawat awam atau swasta dengan penuh cemerlang, bila kita bersama anak-anak kita akan bermesra bersama mereka kerana Allah swt dan lakukan dengan penuh keinsafan dan bila kita bersukan dan beriadhah kita akan lakukan sebaik mungkin kerana Allah swt bagi kita menjaga tahap kesihatan kita.

Dengan melakukan kerana Allah swt semata-mata akan timbul bibit-bibit keikhlasan dalam perjuangan kita untuk menjadi hamba Allah swt yang soleh dan solehah. Keikhlasan dapat dibajai dan rasai bila kita dapat menghayati dan  menjiwai Rukun Iman yang enam pula.

Satu perkara bila kita berusaha melakukan tiap aktiviti kita kerana Allah swt, Insyaallah  tidak timbul masaalah "stress" bila saja apa yang kita hajati tidak menjadi kenyataan sebab pahala di akhirat nanti lebih bermakna  dari nikmat di dunia ini yang bersifat sementara saja.

Pengalaman peribadi penulis sendiri selepas bekerja lebih dari 30 tahun inilah rahsia untuk kita berjaya dalam kerjaya kita. Kita bertugas bukan untuk dapat habuan dunia tapi kerana beribadat pada Allah swt dan bertugas dengan cemerlang. Keputusannya  kita serah segalanya pada Allah swt. Kita ini insan lemah dan serba kekurangan untuk menentukan halatuju kerjaya kita. Yang penting ikhlas kerana Allah swt dan berkhidmat dengan penuh kecermerlangan.

Setelah berusaha dengan cemerlang perlu diiringi dengan doa. Tapi doa saja tak mungkin kalau tidak diirngi dengan melakukan ibadat khusus ia-itu Rukun Islam yang lima. Doa kita menjadi mustajab bila kita lakukan doa tersebut selepas solat berjemaah diawal waktu. Mengadakan solat malam dan solat dhoha. Pohonlah pada Allah swt,  Insyallah satu masa ia-nya akan menjadi kenyataan. Inilah pengalaman peribadi penulis sendiri. Yakinlah akan janji Allah swt.

Yang perlu semua ibadat ini kita lakukan dengan penuh keikhlasan semata-mata beribadat pada Allah swt kemudian diiringi dengan doa itulah resepi hidup untuk berjaya dunia dan akhirat.

Akhir sekali marilah kita sama-sama berdoa agar Allah swt berikan kekuatan bagi kita untuk melakukan ibadah khusus dan ibadah am dengan penuh keikhlasan dan kecermelangan , agar kita semua menjadi hamba-hamba yang bertakwa berjaya di dunia dan berjaya di akhirat. AMIN.
Wassalam

Akmal.

  

Sunday, September 26, 2010

Salam pengenalan

Assalammu 'alaikum Warakhmatullahi Wabarakatuh.

Segala puji bagi Allah s.w.t. Tuhan semesta alam. Berkat rahmat dan kasih sayang NYA, kita dapat berjumpa dalam ruang siber ini.

Selawat dan Salam semoga selalu tercurah pada junjungan kita Nabi Mohammad SAW pembawa risalah kebenaran di akhir zaman.  

Sebagai tulisan sulung saya di muka skrin komputer ini diucapkan selamat berkenalan. Sebagai takruf saya penama diatas berusia 56 tahun dan telah bersara dari pekerjaan saya dengan syarikat kepunyaan kerajaan. Telah berkahwin dan kini mempunyai empat  anak, tiga darinya perempuan dan seorang lelaki. Secara keseluruhan telah bekerja lebih dari 30 tahun,  setahun darinya dengan jabatan kerajaan persekutuan , 2 tahun dengan bank dan syarikat audit dan selebihnya dengan syarikat kepunyaan kerajaan.

Objektif utama tulisan ini dibuat semata-mata  untuk memperhambakan diri kapada Allah swt dalam erti-kata melalui tulisan diskrin komputer ini kita bersama-sama dapat  berkongsi pengalaman kehidupan  untuk mengukuhkan lagi iman kita.  Selalu dinyatakan bila kita bicara tentang Iman dan Islam bila ini dilakukan sebenarnya ia bertujuan untuk mengingatkan diri sipembicara itu sendiri. Satu analogi yang selalu dibuat ialah  bila kita membasuh kain menggunakan sabun sebenarnya disamping kita mencuci kain tersebut kita juga telah berjaya membersihkan tangan kita sendiri.

Tapi dalam hal ini walau pun kita cuba untuk membersihkan  kain tersebut samaada ianya berjaya dilakukan atau tidak  bukan menjadi tanggung jawab kita,  kerana medan yang kita tempuhi melibatkan jiwa-jiwa insan yang pelbagai keadaan hati nuraninya. Tapi usaha sebagini akan terus dilakukan walaupun responnya tidak seberapa.

Mekanisma tulisan yang akan cuba diketengahkan adalah berdasarkan pengalaman kehidupan selama 56 tahun ini, pengamatan yang dilihat dari suasana semasa, perbincangan dengan masyarakat awam secara keseluruhanya dan ini dikaji berdasarkan panduan teragung kita Quraan, Hadhis dan Ijmak Ulamak.  Jadi dari pengamatan tersebut akan dibuat beberapa kesimpulan yang merupakan beberapa pandangan untuk kita berjaya di dunia dan di akhirat. Sipenulis sedar bahawa dalam banyak hal sipenulis itu sendiri  tidak mampu untuk lakukan, walau bagaimana pun   Insyaallah penulis pada masa hadapan akan lebih beriltizam untuk melakukannya  mengikut  kemampuan sendiri.

Disamping itu menjadi tujuan utama penulisan ini agar dapat mewujudkan satu suasana yang lebih baik untuk kita semua menjadi hamba yang mendekatkan  dirinya dengan yang maha Esa. Insyaallah.

Sebagai penutup marilah kita berdoa kapada  Allah swt agar menjadikan kita semua hamba-hamba yang beriman, bertakwa, beramal soleh, ikhlas dalam perjuangan kita, dan diberi kekuatan, kesabaran dan kerahmatan mengharungi liku-liku kehidupan ini. AMIN.

Wasallam

akmal.